26 JAN : Pembinaan infrastruktur bagi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 sudah siap 99.1 peratus(%) setakat Disember tahun lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata ia melibatkan 1,646 menara yang sudah siap dibina dan 1,618 daripadanya sudah beroperasi sepenuhnya.
“MCMC terus memperkukuh usaha memperluaskan liputan dan kesalinghubungan negara menerusi pelaksanaan JENDELA Fasa 1 dan Fasa 2 termasuk penambahbaikan liputan Internet di tujuh kawasan tumpuan merangkumi institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kawasan pelancongan, stadium, kawasan acara, kem tentera, hospital dan lebuh raya.
“Di bawah JENDELA Fasa 1, liputan, kapasiti dan kualiti jalur lebar mudah alih dipertingkat melalui pembinaan 1,661 struktur menara komunikasi baharu dengan perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN) menerusi pendekatan Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN),” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Keseluruhan pembinaan menara itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2026.
Dalam pada itu, MCMC memaklumkan bilangan premis yang diliputi rangkaian turut meningkat daripada 4.96 juta premis sebelum pelaksanaan JENDELA kepada 9.81 juta premis setakat akhir Disember 2025 sekali gus melepasi sasaran 9 juta premis.
“Kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih turut meningkat kepada 143.70 Mbps, melepasi sasaran yang ditetapkan.
“Setakat akhir Disember 2025, liputan Internet di kawasan berpenduduk telah meningkat daripada 91.8 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA, kepada 99.71 peratus.
“Pencapaian ini disokong inisiatif pembangunan rangkaian oleh Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO), termasuk pembinaan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak sedia ada serta manfaat perkongsian MOCN,” kata suruhanjaya itu.
Selain itu, MCMC berkata mulai Ogos 2025, setiap MNO mengemukakan perancangan penambahbaikan liputan yang dipantau pihaknya disokong Garis Panduan Industri bagi Perkongsian Infrastruktur Rangkaian.
Di IPTA, pemasangan lebih 34,000 titik akses Wi-Fi (Wi-Fi Access Point) di 126 kampus universiti awam, politeknik dan kolej komuniti dengan penambahan 73,768 titik akses Wi-Fi dirancang bagi memastikan liputan menyeluruh.
Sementara penyediaan kemudahan gentian optik di 73 kem tentera akan memberi capaian Fibre to the Home (FTTH) kepada 59,240 Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Penambahbaikan ini juga melibatkan peningkatan liputan dan kapasiti rangkaian mudah alih di 18 IPTA dan di 17 kawasan acara termasuk Sepang Circuit, SPICE Arena Penang, Sabah International Convention Centre (SICC) dan Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Jelas MCMC, pendekatan pelaksanaan yang bersasar dan berfasa ini membolehkan peluasan liputan Internet dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan termasuk ke kawasan kurang berpenduduk seperti sepanjang jajaran lebuh raya, melalui penggunaan teknologi yang bersesuaian dengan keperluan setempat.
“MCMC akan terus memantau pelaksanaan ini bagi memastikan peningkatan liputan dan kualiti perkhidmatan Internet dilaksanakan secara mampan dan berterusan, selaras dengan objektif JENDELA Fasa 2 untuk memperluas akses Internet ke kawasan berpenduduk jarang serta koridor pengangkutan utama,” kata MCMC lagi.
*Foto: Jabatan Penerangan Negeri Johor