3 FEB : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat permohonan dilepas dan dibebaskan daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi.
Timbalan Perdana Menteri itu memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu.
Permohonan itu dikemukakan susulan kenyataan media Peguam Negara pada 8 Januari lalu yang memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan ke atasnya.
Peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata tidak adil untuk anak guamnya itu susulan sudah lebih dua tahun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi.
“Jadi tak adil untuk seseorang itu, jika pertuduhan sentiasa tergantung atas kepala beliau. Beliau perlu mencari kebenaran,” katanya, hari ini.
Sebelum ini, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan kan tiada tindakan lanjut terhadap 47 tuduhan tersebut selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.
Pada 4 September 2023, mahkamah memutuskan DNAA terhadap 47 pertuduhan dihadapi Ahmad Zahid itu selepas membenarkan permohonan Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang ketika itu Timbalan Pendakwa Raya.
Pihak pendakwaan memutuskan memberhentikan prosiding untuk menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.