Isu saham Azam Baki: Beri ruang kepada penyiasatan
13 FEB : Beri ruang kepada penyiasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjamin proses siasatan itu akan dijalankan secara telus sebelum sebarang tindakan diambil.
“Biar disemak dan dikaji terlebih dahulu. Kita perlu tahu sama ada ia serius, ada asas atau tidak, sebelum ambil tindakan.
“Jangan kerana kita rasa tertekan atau menjadi mangsa, kita ambil kesempatan untuk menekan pihak lain. Itu tidak boleh, mesti diteliti dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pusat Islam Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menasihatkan warga SPRM agar terus berani dan tegas dalam menjalankan tugas.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan Kabinet bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam itu.
Katanya, jawatankuasa itu akan dipimpin Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan hasil siasatan itu kelak akan dibentang kepada Kabinet sebelum diputuskan tindakan.
Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini dalam laporannya mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham Velocity dengan nilai pegangan dianggarkan bernilai hampir RM800,000.
Namun Azam menegaskan beliau sudah tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
