16 FEB : Isu pencerobohan tanah melibatkan pembinaan rumah ibadah tanpa kelulusan perlu diatasi menggunakan saluran perundangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pemilik tanah yang diceroboh juga dinasihat agar tidak membelakangkan undang-undang dalam bertindak.
“Susah untuk saya ulas kerana kita tidak tahu apa cerita di belakang…mungkin sebelum ini ada mendapat kebenaran tetapi tidak direkodkan atau ada pembayaran, jadi saya tidak tahu.
“Itu sebabnya kita kena percaya kepada sistem mahkamah tetapi saya rasa apa yang disebut ini ialah pendaftaran terhadap bantahan itu perlu direkodkan sama ada dalam bentuk laporan polis atau tuntutan daripada peguam. Saya yakin sistem kita ini masih tertib,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Peluncuran Program Pelepasan Dasar Kedua -Fast Track 2026 di Putrajaya, hari ini.
Azalina mengulas tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor yang membuat penetapan garis panduan untuk pemilik tanah jika tanah milik mereka diceroh atau dibina rumah ibadat tanpa kebenaran.
Dalam pada itu, Azalina berkata pemilik dan pihak rumah ibadat terlibat dicadang menggunakan kaedah mediasi bagi menyelesaikan sebarang pertikaian.
“Kita di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) juga ada mediasi, tidak semestinya pergi ke mahkamah, kalau kita pergi ke mediasi, ia boleh bantu kecepatan penyelesaian konflik.
“Ia juga dapat membantu dari segi kos kewangan yang mungkin tidak begitu tinggi.
“Tahun 2026 akan menjadi fokus kepada BHEUU, selain daripada mahkamah kita nak menggerakkan pusat mediasi dalam semua aspek masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata pemilik tanah diminta membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan diikuti proses pendakwaan dimulakan jika kesalahan pencerobohan dapat dibuktikan.