17 FEB : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan sikap segelintir pihak yang cuba meniup api perpecahan demi kepentingan sempit.
Dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, baginda bertitah perpaduan yang dibina sejak sekian lama tidak harus digadai oleh retorik yang memecah-belahkan masyarakat.
“Beta menyeru seluruh rakyat agar tidak terpengaruh dengan sikap segelintir pihak khususnya ahli-ahli politik yang gemar meniup api perpecahan demi kepentingan sempit. Perpaduan yang kita bina sekian lama tidak harus digadai oleh retorik yang memecah-belahkan masyarakat.
“Negara ini milik kita bersama, dan keharmonian yang dikecapi hari ini adalah hasil toleransi serta kebijaksanaan generasi terdahulu,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda berharap agar rakyat terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama.
“Hormatilah perayaan agama dan budaya kaum lain sebagaimana kita mahu perayaan kita dihormati,” titah baginda.
Baginda turut bertitah agar seluruh rakyat menjadikan setiap perayaan sebagai wadah untuk memperkukuh semangat muhibah dan saling hormat-menghormati antara kaum,
“Biarlah kunjungan rumah terbuka, ucapan tahniah dan amalan berkongsi rezeki menjadi bukti keikhlasan kita dalam menghormati kepercayaan dan budaya antara satu sama lain.
“Perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sekadar tradisi turun-temurun, bahkan merupakan lambang kekayaan budaya dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara kita.
“Kekuatan inilah yang menjadikan kita unik serta dihormati di persada dunia,” titah baginda.
Baginda dan Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut mengucapkan ‘Gong Xi Fa Cai’ kepada masyarakat Tionghua di Selangor dan seluruh negara.
“Semoga tahun yang baharu ini membawa kesejahteraan, kemakmuran serta kebahagiaan buat semua,” titah baginda.
*Foto : Selangor Royal Office