Jangan ada tuduh-menuduh dalam bulan Ramadan
20 FEB : Tindakan menjatuhkan hukuman sebelum proses siasatan selesai tidak wajar berlaku.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sempena bulan Ramadan yang mulia, perbuatan menuduh tanpa usul periksa perlu dielakkan.
“Jangan ada tuduh-menuduh dalam bulan Ramadan ini. Kalau ada tuduhan, kita siasat dengan baik. Kalau ada bukti salah, dakwa, tetapi jangan kita hebahkan atau menghukum sebelumnya (siasatan).
“Ini masalah dalam negara kita. Dengar sahaja orang tuduh-tuduh, terus melompat, kecam. Belum tahu lagi. Nanti fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat, hari ini.
Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dilapor menafikan dakwaan beliau terbabit kes rasuah RM2.5 bilion yang melibatkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu mendakwa tuduhan itu adalah fitnah dijaja pempengaruh, Caprice.
Tuduhan itu dipercayai merujuk kepada projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) membabitkan pelaburan UEM Lestra bernilai RM2.5 bilion.
