23 FEB : Kementerian Komunikasi mengumumkan pelantikan Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia yang baharu.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil turut mengumumkan pelantikan Sharifah Adlina Syed Abdullah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran.
“Selamat Datang ke keluarga Kementerian Komunikasi! Tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu, saudara Ashwad Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah, Sharifah Adlina Syed Abdullah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelantikan Ashwad bagi menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman yang secara rasminya meninggalkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas berkhidmat selama tiga tahun sejak 13 Januari 2023.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berharap kepimpinan baharu itu memperkukuh industri penyiaran negara.
“Semoga kepimpinan yang dibawa terus memperkukuh industri penyiaran negara, memacu inovasi serta menyampaikan maklumat yang sahih dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Ashwad dilaporkan meletakkan jawatan sebagai ketua pengarang saluran berita itu selepas berkhidmat selama 19 tahun.
