23 FEB : Dua pindaan penting yang dibawa ke Parlimen pada sidang kali ini adalah petanda positif kesepakatan gabungan Kerajaan Perpaduan, kata jurucakapnya, Datuk Fahmi Fadzil.
Ia melibatkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dan RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Saya percaya ini adalah petanda yang positif bahawa kita sudah pasti dapat mengumpulkan seluruh kekuatan parti-parti komponen untuk terus melaksanakan segala perancangan yang telah kita teliti sebelum ini.
“Jadi ini dua isu reformasi yang telah lama disebut dan dibincangkan, terutama pengasingan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Ada peguam yang memaklumkan perkara ini sudah 10 hingga 15 tahun dinantikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program KAMI Care Bubur Lambuk di Bazar Ramadan Telawi, Bangsar, hari ini.
Kedua-dua RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, menyentuh soal kongres khas DAP yang bakal diadakan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi melahirkan keyakinan pemimpin parti itu mempunyai kebijaksanaan untuk menangani sebarang isu.
“Bagi PKR, kita tidak masuk campur dalam urusan mana-mana parti lain dan saya percaya pimpinan parti-parti komponen mempunyai kebijaksanaan masing-masing,” katanya.