Kesiapsiagaan ATM, kebajikan anggota keutamaan Kerajaan MADANI
24 FEB : Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu terus diperkasa bagi menghadapi cabaran dan ancaman geo-strategik yang semakin kompleks.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu selepas mengadakan mesyuarat dengan Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan kepimpinan ATM, hari ini.
“Dalam mesyuarat bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan kepimpinan ATM, saya telah diberikan taklimat berhubung beberapa keputusan strategik yang menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan negara.
“Perbincangan ini amat mustahak bagi memastikan kesiapsiagaan serta keupayaan ATM terus diperkasa dalam mendepani cabaran dan ancaman geo-strategik yang semakin kompleks,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar, ATM kekal sebagai benteng utama pertahanan negara serta simbol kedaulatan yang wajib dipelihara dan diperkukuhkan secara berterusan.
Pada masa sama, Anwar turut menegaskan aspek kebajikan warga Kementerian Pertahanan khususnya berkait isu perumahan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga.
“Kerajaan MADANI kekal fokus untuk terus meletakkan kebajikan pegawai, anggota serta keluarga pasukan keselamatan sebagai keutamaan,” katanya.
Usai mesyuarat, Anwar berkesempatan menghadiri majlis tazkirah di Masjid Khalid Bin Al Walid sempena program Ihya Ramadan bersama warga kementerian sebelum menunaikan solat Zuhur secara berjemaah.
