2 MAC : Kesemua 1,936 pelajar Malaysia yang berada di Timur Tengah dilaporkan dalam keadaan selamat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kesemua pelajar juga dilaporkan tidak terjejas berikutan serangan Israel terhadap Iran itu.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri.
“Sehingga kini, kita tidak mendapat sebarang laporan mengenai keadaan yang membimbangkan dan setakat ini juga, belum ada sebarang permintaan daripada pelajar untuk dibawa pulang ke tanah air.
“Pihak Education Malaysia (EM) yang berpusat di Dubai dan Jordan sentiasa memantau seluruh negara-negara Arab ini dan melaporkan status keberadaan pelajar kita dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan@UMK 2026 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok, hari ini.
Menurut Zambry, rekod pendaftaran semasa menunjukkan 1,762 pelajar berada di Jordan, 135 di Arab Saudi, 21 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), 9 di Kuwait, 6 di Iran dan tiga lagi di Qatar.
Namun, beliau meminta mana-mana pelajar yang melanjutkan pengajian secara persendirian di negara Arab yang belum mendaftar agar berbuat demikian segera.
Zambry berkata ia bagi memudahkan kerajaan menyusun pelan tindakan menyelamat jika keadaan semakin kritikal.