Trump berang Sepanyol, Britain tolak bantu AS serang Iran
4 MAC : Amerika Syarikat (AS) mengancam untuk memutuskan perdagangan dengan Sepanyol selepas negara itu enggan membantu untuk menyerang Iran.
Presiden AS, Donald Trump turut melahirkan kekecewaan kepada Birtain yang juga enggan bekerjasama.
Sepanyol dilapor tidak membenarkan pesawat AS menggunakan pangkalannya untuk menyerang Iran.
Semalam, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menegaskan pangkalan yang sudah lama digunakan pasukan AS itu hanya boleh dibenarkan untuk aktiviti yang selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sepanyol sangat teruk. Jadi kita akan memutuskan semua perdagangan dengan Sepanyol.
“Kita tidak mahu ada kaitan dengan Sepanyol,” kata Trump.
Sementara itu, sekutu tegar AS, Britain juga menolak untuk terlibat dalam memerangi Iran.
“Saya tidak berpuas hati dengan UK. Saya akan katakan UK sangat sangat tidak bekerjasama dengan pulau bodoh yang mereka miliki itu,” kata Trump.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menegaskan AS tidak dibenarkan menggunakan pangkalan UK di Cyprus, salah satunya diserang dron Iran.