PM ingatkan kesan pemodenan, pengaruh Barat terhadap nilai moral
10 MAC : Masyarakat hari ini terpaksa berdepan cabaran dek arus modenisasi dan pengaruh nilai Barat yang menyebabkan kemerosotan akhlak juga kelemahan institusi kekeluargaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keterbukaan terhadap kemajuan global wajar disambut secara positif, namun masyarakat tidak seharusnya mengabaikan identiti, budaya serta nilai teras yang menjadi asas pembinaan negara.
“Dengan arus pembangunan dan perubahan, kita menerima pengaruh besar dari Barat.
“Ada yang positif tentunya, tetapi ada juga gejala negatif termasuk keruntuhan nilai moral, akhlak dan institusi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026, hari ini.
Menurut Anwar, situasi tersebut bukanlah perkara yang luar biasa dalam dunia moden kerana kemasukan nilai dari Barat sering kali memberi kesan kepada peranan dan kedudukan institusi keluarga dalam masyarakat.
“Kita harus mengejar pembaharuan dan teknologi baharu seperti transformasi digital dan kecerdasan buatan.
“Tetapi sementara kita menggapai yang di langit, kita mesti mengakar di bumi dengan mempertahankan agama, nilai, budaya dan tradisi melalui institusi keluarga,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keluarga merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang stabil dan berakhlak, sekali gus menjadi tunjang kepada kelangsungan negara bangsa.
