11 MAC : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan individu didakwa memijak al-Quran yang tersebar di platform Threads dan Facebook.
Melalui satu kenyataan, MCMC memaklumkan siasatan dijalankan meski kandungan itu sudah dipadam dan akaun dengan nama ‘Dickie Borneo’ tidak dapat dikesan.
“MCMC merujuk kepada penyebaran visual di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak Al-Quran.
“Semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan telah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MCMC memaklumkan ada mengesan beberapa hantaran lain yang dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.
“Semua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” menurut MCMC.
Justeru itu, MCMC kini sedang bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu terlibat.
“MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil,” kata MCMC lagi.
Tegas MCMC, perbuatan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
MCMC menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.
“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.
“Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada,” menurut suruhanjaya itu.