12 MAC : Bangladesh mengimport diesel dari beberapa negara termasuk India, Malaysia dan Singapura bagi menampung kekurangan bekalan tenaga susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Bulan ini, India sudah mula membekalkan kira-kira 10,000 tan diesel kepada Bangladesh melalui Saluran Paip Persahabatan Bangladesh–India (BIFP) yang memudahkan penghantaran lebih cekap dan kos efektif.
Selain India, Bangladesh turut bergantung kepada import bahan api dari Malaysia, Singapura, China dan Indonesia bagi memastikan bekalan alternatif terus tersedia.
Menteri Kuasa, Tenaga dan Sumber Mineral Bangladesh, Anindya Islam berkata Dhaka merancang mengimport 120,000 tan minyak dari Brunei serta mempertimbangkan bekalan dari Amerika Syarikat bagi mempelbagaikan sumber import.
Ketika ini, pihak berkuasa Bangladesh turut mengarahkan penutupan sekolah di seluruh negara dan melaksanakan catuan bahan api dengan orang ramai dilaporkan beratur panjang di stesen minyak.