13 MAC : Cadangan bekerja dari rumah (WFH) untuk sektor awam sebagai langkah mendepani kesan ketegangan di Asia Barat akan diputuskan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Selasa depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata cadangan itu sedang diteliti Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Pada masa sama, beberapa ikhtiar sedang diteliti. PM minta KSU dan KPPA meneliti cadangan bekerja dari rumah (WFH) untuk memastikan beberapa perkara terselaras. Ini untuk sektor awam.
“Hasil daripada perbincangan itu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat insya-ALLAH Selasa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Menara Komunikasi, hari ini.
Mengulas tentang mesyuarat itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata ia diadakan khusus untuk membincangkan isu berkaitan ekonomi yang terkait dengan konflik di Asia Barat antara Israel-Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Selain itu, turut turut dibincangkan dalam mesyuarat itu beberapa persiapan kerajaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Perdana Menteri mengarahkan semua kementerian dan menteri melakukan sesi libat urus di bawah kementerian masing-masing untuk mendapatkan maklum balas, pandangan, dapatan kesan yang mungkin dirasai infustri tersebut akibat pergolakan Asia Barat.
“Hasil libat urus itu akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri pada Selasa minggu depan dan wakil-wakil industri akan melakukan pembentangan di Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang akan datang,” katanya.