14 MAC : Kerajaan masih mampu menampung impak ekonomi untuk tempoh beberapa bulan berikutan konflik Asia Barat agar tidak begitu dirasai rakyat negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan juga tidak berhasrat memotong subsidi sedia ada.
“Buat masa ini kita belum ada keputusan untuk memotong subsidi sebab kita rasa kesannya memang besar.
“Bagaimanapun, buat masa ini kita mahu tengok berapa lama kesan ini akan berpanjangan.
“Kalau setakat dua atau tiga bulan lagi, saya rasa kerajaan masih boleh bertahan. Selepas itu kita akan lihat bagaimana perkembangan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sembang Santai ‘Moreh dengan Yang Berhormat’ di Kampung Baru, malam tadi.
Johari mengulas kemungkinan kerajaan memotong perbelanjaan termasuk subsidi bagi meredakan beban ekonomi negara.
Dalam pada itu, beliau berkata impak ekonomi dihadapi hari ini menyebabkan orang ramai kurang berbelanja.
Katanya, kenaikan harga minyak dan tenaga akan memberi kesan kepada sektor ekonomi.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, dua kesan utama biasanya akan berlaku terhadap pasaran.
“Pertama, orang akan kurang berbelanja kerana mereka tidak pasti apa yang akan berlaku. Kalau ada duit, mereka akan simpan.
“Kedua, kalau harga minyak meningkat, kesannya bukan hanya kepada minyak sahaja tetapi kepada industri yang banyak menggunakan tenaga,” katanya.