Malaysia cetak 1 juta al-Quran terjemahan 30 bahasa
16 MAC : Malaysia mencetak sejuta nashkah al-Quran dengan terjemahan sebanyak 30 bahasa sebagai respons kepada tindakan Islamofobia melampau di Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sekali lagi akan menggerakkan kontena al-Quran Terjemahan Bahasa Sepanyol ke Kanada dan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha meratakan mesej dakwah.
“Saya singgung sikap prejudis dan melampau sesetengah pihak di Barat mengenai Islam seperti pembakaran al-Quran telah menimbulkan kemarahan umat Islam. Dalam menzahirkan kemarahan sebagai respon kepada tindakan Islamofobia juga ada yang bersifat kekerasan.
“Namun kita menawarkan alternatif…mereka bakar al-Quran, kita cetak sejuta al-Quran dengan terjemahan sebanyak 30 bahasa yang berlainan. Insya-Allah, hari ini kita sekali lagi akan menggerakkan kontena al-Quran Terjemahan Bahasa Sepanyol ke Kanada dan AS dalam usaha meratakan mesej dakwah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyentuh isu yang dihadapi umat Islam ketika ini di mana tanpa kesatuan dan persefahaman agak sulit untuk menangani cabaran kompleks di peringkat antarabangsa.
“Kita akan lakukan sebaiknya di sebalik kesukaran dan cabaran yang kita hadapi. Al-Quran ada jawapannya dan memberi kekuatan untuk kita semua bekerja lebih kuat.
“Saya juga ingin zahirkan penghargaan kepada Al-Fadhil Al-Al-Allamah Sheikh Dr. Syeikh Dr Ahmad ‘Isa Al-Ma’sarawi dan Datuk Al-Syeikh Al-Sayyid Afeefuddin Al-Jalani atas doa serta harapan mengenai inisiatif ini.
“Semoga kehadiran para ulama dan segala sumbangan mereka dalam usaha ini akan mendapat barakah Allah SWT,” katanya.
