31 OKT : Rakyat di Melaka diyakini tidak akan melepaskan kepimpinan atau pentadbiran negeri itu kepada pihak lain, walaupun ada yang mendakwa dapat memenangi 18 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh dan bantuan di peringkat bahagian serta Dewan Undangan Negeri (DUN), rakyat Melaka tidak akan melepaskannya kepada pihak lain.
Katanya, walau pun ada pihak memberi tekanan, beliau percaya kepada rakyat Melaka untuk memilih kerajaan yang boleh memberi khidmat terbaik kepada mereka.
“Banyak program besar dan kecil di negeri ini. Tok Rauf sentiasa turun ke bawah bertemu rakyat. Kemesraan dan prestasinya yang unggul tidak dapat dinafikan.
“Bahkan Datuk Hameed Basheer (calon DUN Ayer Limau) turut mempunyai track record yang baik untuk meneruskan perkhidmatan kepada pengundi dengan lebih mantap,” tegasnya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian di majlis perasmian Program Gerakan Massa (GEMA), Kemas Melaka di Ramuan China, Masjid Tanah yang turut dihadiri Ab Rauf dan Ketua Pengarah Kemas Datuk Hanafiah Man serta Hameed.
Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, sejak aktiviti menukar imej Tabika Kemas termasuk memperkenalkan pra tahfiz, lebih 125,000 anak-anak yang masuk tabika, sudah menghafal surah-surah dalam al-Quran.
“Tahniah kepada ibu bapa yang memberi kepercayaan kepada guru-guru Kemas malah guru-guru ini juga terpaksa menghafal. Ini yang baik.
“Ertinya, kita mahu mengimbangkan kemajuan dunia dan ibadah untuk akhirat. Ini yang dilakukan Kemas dan ini juga yang dilakukan Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau turut mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM79.12 juta bagi 44 projek pembangunan di Melaka termasuk RM4.31 juta diperuntukkan khas di bawah Kemas untuk membiayai lapan projek.
