17 MAC : Malaysia mengecam tindakan rejim Israel yang terus menutup pintu Masjid al-Aqsa ketika umat Islam di seluruh dunia sedang dalam persiapan menyambut Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu jelas menafikan hak umat Islam untuk beribadah di masjid ketiga paling suci dalam Islam khususnya pada penghujung Ramadan.
Menurutnya, tindakan rejim itu tiada asas yang sah dari sudut undang-undang, moral mahupun prinsip kemanusiaan sejagat.
“Penutupan berterusan Masjid al-Aqsa adalah sesuatu yang tidak dapat dipertahankan dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
“Malaysia menggesa pintu al-Aqsa dibuka segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan tindakan Israel itu mencerminkan tahap keangkuhan dan kekebalan yang semakin meningkat, susulan kegagalan komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas sebelum ini.
“Malaysia menggesa setiap kerajaan yang mempunyai pengaruh agar tidak sekadar mengeluarkan kenyataan, sebaliknya mengenakan tekanan nyata bagi memastikan pembukaan semula masjid itu.
“Kepada rakyat Palestin yang melalui Aidilfitri dalam keadaan ini, keimanan, kesabaran dan ketabahan anda tidak terlepas daripada perhatian dunia. Anda tidak bersendirian.
“Malaysia akan terus bersuara dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Anwar.