Dividen terbaik dalam 8 tahun hasil pembaharuan tatakelola TH
18 MAC : Pengumuman dividen Tabung Haji (TH) hari ini merupakan cerminan hasil pembaharuan tatakelola yang dilaksanakan dalam pengurusannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dividen terbaik dalam tempoh lapan tahun itu menjadi khabar gembira buat umat Islam di negara ini menjelang perayaan Aidilfitri.
“Alhamdulillah, pengumuman dividen TH hari ini yang mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun hadir sebagai khabar gembira buat umat Islam menjelang Aidilfitri.
“Pencapaian ini mencerminkan hasil pembaharuan yang menekankan tatakelola, memperbetulkan asas institusi serta mengembalikan disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan TH,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan pengumuman dividen TH, hari ini.
Terdahulu, TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.5 peratus (%) bagi tahun kewangan 2025.
Ia merupakan rekod tertinggi dalam tempoh lapan tahun melibatkan RM3.22 bilion yang memanfaatkan lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pembaharuan itu juga adalah ikhtiar untuk kembali mengangkat dan memartabatkan TH.
“Ia selaras dengan semangat asal penubuhannya yang berteraskan pengurusan amanah dan tanggungjawab terhadap kepentingan umat Islam.
“Semoga khabar baik ini menambah rasa syukur dan ketenangan dalam menyambut Aidilfitri, serta memperkukuh keyakinan umat terhadap usaha kita untuk terus memelihara institusi ini demi kepentingan bersama, Insya-Allah,” kata Anwar.
