26 MAC : Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap situasi keselamatan yang semakin meruncing di selatan Lubnan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan perkara itu kepada rakan sejawatnya dari Lubnan, Nawaf Salam melalui perbualan telefon susulan peningkatan ketegangan di rantau tersebut.
“Saya telah mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, sambil menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H serta menyuarakan kebimbangan terhadap situasi keselamatan yang semakin meruncing di selatan Lubnan dan ketegangan serantau yang kian meningkat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar turut menghargai sokongan berterusan Kerajaan Lubnan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) agar mereka dapat terus melaksanakan tugas dengan berkesan dalam suasana yang mencabar.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia turut menggesa agar gencatan senjata diperluaskan merangkumi Lubnan memandangkan negara itu terjejas teruk akibat konflik berterusan dengan kira-kira sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal serta lebih 1,000 orang terkorban.
“Saya menegaskan sokongan Malaysia terhadap kedaulatan Lubnan, mengutuk serangan ke atas infrastruktur awam, serta menyeru semua pihak untuk meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog, di samping menyentuh situasi kemanusiaan yang semakin mendesak.
“Mengakhiri perbualan, saya menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan Lubnan dan rakan antarabangsa dalam memulihkan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.