Fokus depani krisis ekonomi, tiada PRU16 dalam masa terdekat
4 MAC : Tiada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang akan diadakan dalam masa terdekat susulan konflik global yang kian meruncing ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata fokus kerajaan ketika ini tertumpu kepada usaha untuk menghadapi krisis ekonomi akibat konflik itu yang sudah dirasai di negara ini.
Tegasnya, kini masa untuk bekerja bagi menyelamatkan negara daripada krisis.
“Ini bukan soal pertarungan politik, bermusuh satu sama lain. Saya tidak akan ada pilihan raya dalam satu, dua bulan ini, sabar sekejap.
“Esok masa pilihan raya bertempurlah. Sekarang ni kerja. Enough of politics, bangun! Selamatkan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Perak 2026 di Ipoh, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam keadaan ketika ini, semua pihak perlu menumpu kepada usaha bagi memperkukuh ekonomi dan keselamatan negara.
Katanya, krisis global yang melanda Asia Barat ketika ini turut memberi kesan kepada harga minyak sekali gus mempengaruhi kos logistik dan rangkaian bekalan lain.
Iran menutup laluan Selat Hormuz selepas diserang Israel yang dibantu Amerika Syarikat dan kini kapal yang melalui selat itu perlu mendapatkan kebenaran Tehran terlebih dahulu.
Kapal Malaysia sebelum ini mendapat lampu hijau dari Tehran untuk melalui selat itu.