8 APR : Polis mungkin bakal ditempatkan di stesen-stesen minyak di sempadan negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata isu itu dibangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan tentang beberapa penahanan yang dilakukan di stesen minyak di kawasan sempadan.
“Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pihak KPDN bahawa akibat daripada siri penahanan dilakukan terutama di stesen-stesen minyak di sempadan negara, maka beberapa aspek membabitkan keselamatan perlu dipertingkat.
“Jemaah Menteri sedang mempertimbangkan keperluan kehadiran anggota keselamatan khususnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan aspek keselamatan di stesen-stesen minyak di sempadan dipertingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri dan taklimat harian berkait krisis tenaga global, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Majlis Pengurusan Bencana Negara akan ditubuhkan dalam usaha memperkukuhkan pengurusan bencana di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Jemaah Menteri pada hari ini meneliti dan memutuskan penubuhan Majlis Pengurusan Bencana Negara. Majlis ini akan merangkumi sebagai ahli tetap semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier Negeri Sarawak.
“(Mesyuarat) akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang diadakan secara berkala.
Pihak sekretariat bagi Majlis Pengurusan Bencana Negara sudah diputuskan sebagai pihak NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara),” katanya.