KENYATAAN MEDIA
AGENSI PENGANGKUTAN AWAM DARAT
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk mengekalkan tindakan kompaun sebanyak RM100,000 terhadap Rapid Rail Sdn. Bhd. (RRSB) atas kesalahan di bawah Seksyen 101(10) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Tindakan punitif ini dikenakan susulan insiden pada 24 Mei 2021, lebih kurang jam 8.47 malam di Stesen LRT KLCC menghala Stesen LRT Kampung Baru.
Akibat kepincangan penyelenggaraan, RRSB selaku pengendali berlesen telah gagal untuk memastikan jajaran kereta api selamat untuk pengoperasian sehingga mengakibatkan limb rail berada dalam keadaan tidak boleh dibaca di kedua-dua arah.
Ini telah menyebabkan kegagalan untuk mengendalikan tren dengan selamat sehingga berlaku insiden yang melibatkan seramai 213 penumpang dan 65 daripadanya cedera.
APAD menegaskan bahawa keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
Tindakan penguatkuasaan ini bukan sahaja sebagai langkah pematuhan undang-undang, malah sebagai peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan kereta api agar sentiasa memastikan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian teknikal yang ditetapkan serta latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan yang terlibat.
Keputusan untuk mengenakan kompaun ini juga mengambil kira kepentingan awam dan prinsip akauntabiliti dalam memastikan integriti sistem pengangkutan kereta api negara terus terpelihara.
APAD akan terus komited untuk memperkukuhkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap pengendali mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan, keperluan operasi dan standard keselamatan yang telah ditetapkan.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
AGENSI PENGANGKUTAN AWAM DARAT