KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah bersidang untuk mesyuarat kali kedua di Bangunan Parlimen Malaysia semalam. Mesyuarat yang saya pengerusikan ini merupakan kesinambungan kepada mesyuarat pertama pada 16 Mac lalu yang telah menetapkan tiga parameter utama sebagai fokus perbincangan.
Sehubungan dengan itu, mesyuarat pada hari ini memberi tumpuan kepada perbincangan lanjut terhadap input-input yang telah diterima daripada pelbagai pihak termasuk Projek SAMA, Bersih, Sabah Law Society, Transparency International, C4 Center, Rasuah Busters, SUHAKAM, CSO Platform for Reform, Majlis Peguam Malaysia, IDEAS, IKRAM, ABIM dan Puan Maha Balakrishnan. Mesyuarat turut meneliti analisis dapatan maklum balas bertulis daripada badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil, yang akan menjadi asas penting dalam memperhalusi cadangan reformasi ini. Pandangan-pandangan ini merangkumi beberapa parameter utama seperti mekanisme pelantikan, penamatan serta akauntabiliti Pendakwa Raya.
Dalam mesyuarat yang sama, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) terlebih dahulu membentangkan dapatan kajian komparatif yang melibatkan tiga negara iaitu United Kingdom, Australia dan Kanada, berhubung kerangka pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Kajian ini meneliti parameter utama seperti kaedah pelantikan, kelayakan, mekanisme penamatan jawatan serta bentuk akauntabiliti kepada Parlimen. Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) turut membentangkan cadangan Rang Undang-Undang susulan yang melibatkan pindaan berbangkit, termasuk berkaitan saraan Pendakwa Raya.
Sebagai langkah seterusnya, Jawatankuasa Pilihan Khas akan mengadakan sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memperhalusi lagi maklum balas yang diberikan. Mesyuarat turut dihadiri oleh Ahli-ahli JKPK iaitu Yang Berhormat Parit Sulong, Alor Gajah, Selayang, Bangi, Lubok Antu, Bukit Gelugor, Kota Bharu dan Muar, manakala Yang Berhormat Larut, Tawau dan Beluran tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan bahawa sebarang reformasi institusi dilaksanakan secara telus, inklusif dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan. Usaha ini juga bertujuan untuk memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)