13 APR : Usul menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Jumaat ini berikutan konflik Asia Barat yang masih meruncing.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu, tidak mungkin pilihan raya boleh dilaksanakan.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu mengesyorkan, pilihan raya berkenaan hanya diadakan selepas keadaan kembali tenang.
“Kalau ketidaktentuan politik yang berlaku di luar dan melihat kesusahan rakyat sekarang, mungkin tak adalah PRN minggu depan, itu pandangan logik politik.
“Tak perlu mesyuarat besar pun untuk menyatakan itu dari segi logik politik. Apabila geopolitik payah, masalah harga barang begitu begini, tak akan kita nak buat pilihan raya ketika masalah ini berlaku.
“Jadi, saya ingin mengesyorkan apabila masalah selesai, baru kita boleh pilihan raya dengan tenang. Selagi keadaan tidak tenang, maka PRN Melaka dan Johor perlu difikirkan satu tarikh yang paling strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai, hari ini.
Mandat bagi kerajaan Melaka dijangka tamat akhir tahun ini sementara Johor akan tamat pada Mac tahun depan.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor memaklumkan sudah mencadangkan kepada MKT gar kedua-dua PRN itu dijalankan serentak bagi menjimatkan kos.