16 APR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menerima keputusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kertas siasatan kes penyebaran berita palsu mengenai kenaikan harga bahan api susulan krisis di Asia Barat.
Melalui satu kenyataan, MCMC memaklumkan AGC memutuskan satu kes untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, lima kes ditawarkan kompaun dan empat kes diberikan Surat Amaran.
“Susulan itu, MCMC mengeluarkan lima tawaran kompaun kepada individu terlibat dengan nilai kompaun sebanyak RM25,000 setiap seorang.
“Kesemua tindakan ini adalah hasil siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar sentiasa menggunakan platform digital secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.