20 APR : Rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan fahaman politik sepatutnya berbangga dengan pencapai ringgit yang muncul mata wang terbaik di Asia dalam tempoh dua tahun berturut-turut.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia merupakan realiti yang mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara.
“Jadi ini satu pencapaian yang baik dan kita lihat dalam tempoh dua tahun memang ringgit antara mata wang Asia yang dari segi pencapaian sangat baik. Itu realitinya.
“Pengiktirafan seperti ini yang diberikan kepada kerajaan Malaysia dan usaha Malaysia itu sendiri. Ini sepatutnya menjadi kebanggaan kita semua tanpa mengira isu-isu politik. Ini adalah kebanggaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Kempen Internet Selamat di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, ringgit ketika ini berada pada paras RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) dan RM3.10 berbanding dolar Singapura (SGD).
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kecemerlangan prestasi Ringgit Malaysia terus dibuktikan apabila diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.
Kata Anwar, prestasi itu menunjukkan ekonomi negara kini semakin kukuh yang dibantu dengan peningkatan keyakinan pelabur.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kira-kira (RM9.5 bilion) bon Malaysia diberi dana global yang merupakan aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan terakhir ini.