20 APR : Sebuah lagi kapal membawa minyak yang berjaya melepasi Selat Hormuz bakal tiba selewat-lewatnya hujung minggu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata kapal itu dijangka terus memperkukuh jaminan bekalan bahan api Malaysia.
“Ini akan menjamin stok bekalan minyak mentah yang akan diproses di beberapa fasiliti refinery (loji penapisan) di dalam negara kita yang memungkinkan bekalan terutama bagi Petronas lengkap sehingga hujung bulan Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan terhadap pelaksanaan sistem BUDI Madani RON95 (BUDI95) dan diesel di salah sebuah stesen minyak di Pagoh, hari ini.
Jumaat lalu, kapal tangki Malaysia, Ocean Thunder yang membawa kira-kira satu juta tong minyak mentah Basrah Heavy dari Iraq tiba di Malaysia.
Dua kapal itu yang terawal melepasi Selat Hormuz ketika konflik Asia Barat terus tidak menentu.
Mengulas soal desakan beberapa pihak yang meminta agar kuota subsidi BUDI95 dikembalikan, Fahmi berkata pengurangan kuota yang ditetapkan kerajaan hanya bersifat sementara.
Namun katanya, sebarang perkara berkait bekalan bahan api akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), esok.
Terdahulu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut merasmikan program Kempen Internet Selamat di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, hari ini.
