4 MEI: Syarikat Bumiputera dan Islam diseru menjalin kerjasama dengan pengeluar ramuan produk halal di negara ini yang didominasi syarikat bukan Islam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata di negara ini dianggarkan 67 peratus (%) pengeluar ramuan halal adalah syarikat bukan Islam.
Menurut Ahmad Zahid, syarikat Bumiputera boleh belajar bagi meningkatkan perniagaan dan mengukuhkan lagi pasaran eksport negara.
“Apabila kita mengadakan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan forum pengeluar bahan ramuan produk halal, 67 peratus pengeluar ramuan halal adalah rakan-rakan kita bukan Islam.
“Untuk itu, mari kita gembleng tenaga untuk belajar bekerjasama dengan untuk kita jadikan mereka rakan kongsi bagi pengeluaran produk halal daripada bahan yang dikeluarkan oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekosistem Halal Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara berkata semua pihak perlu mengetepikan perbezaan agama untuk memasarkan dan mengeluarkan prooduk halal.
“Ia demi kepentingan pasaran eksport, demi kepentingan produk dari Malaysia. Bukan berada dalam kepompong kecil tetapi kita rakyat Malaysia perlu ketepikan perbezaan agama dalam kalangan kita untuk bersama dengan mereka memasarkan serta mengeluarkan produk halal dengan kerjasama semua pihak.
“Kita tidak mahu ini Islam, ini bukan Islam. Kita negara masyarakat majmuk. Walaupun pelbagai agama, mereka juga mahu mengejar keuntungan, kita juga mahu mengejar keuntungan. Tidak salah kalau mereka jalin kerjasama dengan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan rangkaian pasar raya global, Lulu Hypermarket menyatakan komitmen untuk membeli dan memasarkan produk halal usahawan MARA bernilai AS$100 juta (RM395 juta) ke pasaran antarabangsa bermula 1 Julai ini.
Justeru itu, pengurusan tertinggi MARA diarahkan menyelaras produk-produk usahawan segera untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.
“Saya akan meminta Pengerusi MARA dan Ketua Pengarah MARA untuk koordinasi produk-produk halal yang akan dipasarkan oleh Lulu Hypermarket di seluruh dunia terutama di Asia Barat,” katanya.
