5 MEI: Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) yang bakal dilaksanakan sepenuhnya September ini di pintu masuk negara mampu menyelesaikan proses pemeriksaan pengembara dalam tempoh empat hingga lima saat sahaja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sistem itu membolehkan pemeriksaan dilakukan melalui pengecaman wajah, kod QR dan pasport bagi mengelakkan kesesakan.
“Di lapangan terbang ini (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sahaja, akan terdapat lebih 60 autogate bagi inbound dan outbound. Sebahagian telah dipasang.
“Saya melihat sendiri proses ini mengambil sekitar 4 hingga 5 saat sahaja, munasabah. Ini amat signifikan kerana kita mahu mengurangkan kesesakan di lapangan terbang sama ada semasa ketibaan atau pelepasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat KLIA Terminal 1, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution akui berpuas hati dengan prestasi sistem pintu pemeriksaan automatik itu yang akan menggantikan sistem lama secara berperingkat.
Namun katanya, mungkin akan berlaku sedikit gangguan teknikal sepanjang peralihan sistem berkenaan.
“Ini merupakan satu game changer. Saya berpuas hati dengan prestasi sistem autogate ini yang akan menggantikan sistem lama secara berperingkat.
“Namun, dalam fasa peralihan daripada sistem lama MyIMMs (Sistem Imigresen Malaysia) kepada sistem baharu MyNIIISe, sedikit sebanyak akan ada kemungkinan (potensi) gangguan teknikal atau glitches. Kita akan meminimakan gangguan.
“Ini adalah perkara yang dijangka dalam mana-mana peralihan sistem. Kita akan cuba meminimumkan gangguan tersebut, tetapi jika berlaku, ia adalah sebahagian daripada proses yang akan kita tangani,” katanya.
Meskipun begitu, Saifuddin Nasution menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan sesekali berkompromi terhadap aspek keselematan.
