7 MEI : Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi sektor pertanian yang mampu menyumbang kepada kerjaya berpendapatan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sektor pertanian perlu dijadikan pilihan utama dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir dalam sektor agrikomoditi negara.
“Kita mahu selain daripada mereka yang bernasib baik masuk ke universiti, mereka yang lepasan SPM juga digalakkan masuk ke TVET pertanian dengan gaji melebihi kadar gaji minimum.
“TVET bukan pilihan kedua atau pilihan ketiga. Insya-Allah TVET akan menjadi pilihan utama kepada anak-anak muda di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Agrokomoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), hari ini.
Ahmad Zahid berkata sektor komoditi negara termasuk getah, koko, lada, kenaf dan kayu berpotensi besar untuk terus dikembangkan.
Dalam pada itu, menyentuh soal Skuad Agrikomoditi KPK, beliau menyifatkan penubuhan itu sebagai pendekatan baharu bagi memperkukuh advokasi sektor berkenaan terutama di peringkat akar umbi.
“Skuad ini diharapkan bukan sekadar membawa mesej dan risalah, tetapi juga turun ke akar umbi untuk mempertingkatkan martabat mereka yang terlibat dalam sektor pertanian dan komoditi.
“Ini penting sebagai advokasi yang sangat signifikan bagi mengubah persepsi dan meyakinkan rakyat bahawa agrikomoditi adalah sektor yang moden, bermaruah dan bernilai tinggi,” katanya.
Skuad Agrikomoditi KPK merupakan platform sukarelawan dan pembangunan bakat yang menghubungkan golongan muda, pekebun kecil, institusi TVET, IPT dan pemain industri bagi memperkasakan sektor agrikomoditi negara.
Antara peranan utama skuad itu ialah menjadi ejen transformasi digital dengan membawa teknologi baharu, bertindak sebagai duta kelestarian bagi menerangkan komitmen Malaysia terhadap amalan mampan serta membantu pekebun kecil menghasilkan produk hiliran bernilai tinggi.
