Malaysia komited perkukuh kerjasama menerusi BIMP-EAGA
8 MEI : Malaysia komited memperkukuh kerjasama serantau menerusi Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sebagai wahana strategik yang bukan sahaja merapatkan jurang pembangunan, malah memperluas jaringan perdagangan, pelaburan, keterhubungan digital serta keterjaminan makanan demi kemaslahatan rakyat di rantau ini.
“Dalam Sidang Kemuncak Khas BIMP-EAGA di Cebu hari ini, saya menegaskan bahawa Visi BIMP-EAGA 2035 mesti dipacu dengan semangat kebersamaan, tatakelola yang mampan serta iltizam untuk memastikan wilayah-wilayah terpencil dan kurang membangun tidak terus tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Khamis.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, rantau Timur ASEAN perlukan pendekatan yang lebih bersepadu dan berani bagi menghadapi cabaran krisis global ketika ini.
“Tatkala dunia berhadapan cabaran krisis bekalan tenaga, perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi global, rantau ini harus tampil dengan pendekatan yang lebih bersepadu dan berani.
“Justeru, Malaysia mendukung pengukuhan keterhubungan tenaga rentas sempadan, pelaburan dalam tenaga boleh baharu serta penyelesaian lestari seperti solar dan mini-grid agar manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan inklusif oleh seluruh rakyat, termasuk komuniti di kawasan pedalaman,” katanya.
Menurutnya, Visi 2035 bukan sekadar dokumen dasar, tetapi cerminan tekad bersama untuk membina sebuah rantau yang lebih berdaya tahan, kompetitif dan manusiawi.
“Dengan semangat ASEAN yang terus menyala, kita akan terus menyokong agenda pembangunan yang memuliakan insan, memperkasa masyarakat setempat dan menyemarak masa depan yang lebih sejahtera buat generasi mendatang,” katanya.
