Anwar adakan pertemuan dua hala dengan PM Singapura, Laos
8 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin Singapore dan Laos bagi membincangkan pengukuhan kerjasama serantau serta hubungan antara negara.
Anwar yang kini berada di Cebu, Filipina bertemu Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bagi memperkukuh kerjasama strategik antara negara yang berteraskan kepentingan bersama, kestabilan serantau serta kemakmuran rakyat kedua-dua negara.
“Antara fokus utama yang disentuh termasuk mempercepat pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), memastikan projek RTS Link dapat beroperasi menjelang penghujung tahun 2026 dan memperluas kerjasama tenaga boleh diperbaharui dan ASEAN Power Grid.
“Di samping memperdalam kerjasama dalam bidang Carbon Capture and Storage (CCS),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Anwar, Malaysia turut menegaskan kepentingan meneruskan rundingan berkaitan sempadan maritim secara konstruktif dan berlandaskan undang-undang antarabangsa selain memastikan isu bekalan air, ruang udara serta pengurusan Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR) ditangani menerusi semangat hormat-menghormati dan persefahaman dua hala.
“Dalam membicarakan perkembangan serantau dan antarabangsa, Malaysia menekankan kepentingan gencatan senjata berkekalan di Timur Tengah, kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, serta keperluan ASEAN terus memainkan peranan yang berprinsip dalam memelihara,” katanya.
Sementara dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Laos, Dr Sonexay Siphandone, Anwar berkata kedua-dua negara berkongsi tekad yang utuh untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara serta kemakmuran rantau ASEAN secara keseluruhannya.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya menzahirkan iltizam untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, pendidikan tinggi, pertahanan, telekomunikasi dan keterhubungan serantau.
Kata Anwar, Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasa integrasi ekonomi dan logistik ASEAN termasuk menerusi jaringan rel ASEAN Express yang menghubungkan Malaysia, Thailand, Lao PDR dan China, di samping memperkukuh kerjasama tenaga serantau melalui LTMS-PIP.
“Dalam semangat Malaysia MADANI dan kebersamaan ASEAN, kita percaya bahawa pembangunan yang mampan, saling menghormati serta perkongsian kemakmuran merupakan wahana penting bagi menjamin kestabilan dan masa depan rantau ini,” katanya.
