Krisis global: Kerajaan jamin bekalan minyak domestik lebih teratur
8 MEI : Kerajaan MADANI menjamin bekalan minyak di negara ini lebih teratur susulan beberapa langkah proaktif yang diambil bagi mendepani krisis itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan melaksanakan pelbagai langkah termasuk memperkukuh kawalan bagi menangani ketirisan.
“Kita mengambil langkah lebih proaktif, khususnya di bawah PETRONAS. Kita sudah memastikan bekalan minyak dan diesel dapat diagihkan dengan lebih seimbang.
“Ini juga disebabkan beberapa langkah asas yang kita ambil, termasuk mengurangkan penggunaan RON95 serta memperkukuh kawalan bagi menangani ketirisan diesel.
“Jadi, penggunaan kini jauh lebih rendah. Kita juga mengambil langkah untuk mengimport bekalan dan oleh itu dari segi bekalan, keadaannya tidak lagi setegang seperti dua bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina, hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengesahkan bekalan minyak domestik hanya mampu bertahan sehinggan Jun ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha mengawal ketirisan dan kebocoran diesel di negara ini termasuk di kawasan sempadan mampu menurunkan kadar penggunaannya.
Kata Anwar, impak konflik Asia Barat yang menjejaskan bekalan juga menyebabkan peningkatan kos bahan api yang memberi kesan kepada kos pengangkutan, baja dan makanan.
Sementara itu, ASEAN juga katanya mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh kerjasama serantau termasuk memberi keutamaan kepada negara jiran jika terdapat lebihan bekalan.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA