ASEAN mesti kekal bersatu depani cabaran global
8 MEI : ASEAN dituntut untuk terus bergerak dengan semangat kebersamaan dan tanggungjawab kolektif demi memastikan keamanan serta kemakmuran serantau terpelihara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan perkara itu selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 melabuhkan tirainya, hari ini.
Menurut Anwar, persidangan itu mencapai satu kesepakatan yang jelas iaitu ASEAN mesti terus kekal bersatu, tangkas dan berpandangan jauh dalam mendepani cabaran dunia yang semakin rencam serta tidak menentu.
“Daripada krisis geopolitik, keselamatan tenaga, keterjaminan makanan hinggalah kestabilan rantaian bekalan, rantau ini dituntut untuk bergerak dengan semangat kebersamaan dan tanggungjawab bersama demi mempertahankan keamanan serta kemakmuran serantau.
“Malaysia menegaskan kepentingan memperkukuh keterhubungan serantau melalui ASEAN Power Grid, memperdalam perdagangan intra-ASEAN, mempercepat kerjasama ekonomi digital serta memperluas jaringan strategik dengan rakan-rakan yang diyakini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, ASEAN juga harus terus menjadi suara yang konsisten dalam mempertahankan prinsip dialog, penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa dan penyelesaian damai terhadap setiap pertikaian yang berbangkit.
Katanya, dalam dunia yang sedang menyaksikan pelbagai penyimpangan terhadap nilai kemanusiaan dan kestabilan sejagat, ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pemerhati.
“Rantau ini mesti tampil sebagai wahana yang memperkukuh keyakinan, menjana pertumbuhan yang lebih adil serta memastikan masa depan yang lebih aman dan mampan buat seluruh rakyat ASEAN,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Anwar berkata Malaysia menegaskan komitmen teguh untuk terus memperkukuh kesepaduan ASEAN dalam mendepani tantangan global yang semakin meruncing.
“Khususnya krisis geopolitik yang memberi kesan langsung terhadap aspek keterjaminan tenaga dan makanan serta kestabilan rantaian bekalan serantau.
“Dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 hari ini, saya menekankan bahawa tiada negara mampu menghadapi kemelut ini secara bersendirian, justeru kerjasama kolektif dan perpaduan serantau yang berpaksi pada solidariti ASEAN mesti terus diperkasa,” katanya.
Tambahnya, Malaysia turut menyuarakan dukungan terhadap pemacuan ASEAN Power Grid, pengukuhan mekanisme keselamatan petroleum serantau serta keperluan memperluas jaringan kerjasama strategik termasuk menerusi ASEAN-GCC-China demi menjamin daya tahan tenaga jangka panjang.
Sementara dalam soal keterjaminan makanan pula, katanya, ASEAN perlu bertindak lebih tuntas melalui penyelarasan stok kecemasan makanan dan pengukuhan mekanisme simpanan beras Rizab Kecemasan Beras ASEAN Campur Tiga (APTERR) agar rantau ini tidak terus terdedah kepada inflasi makanan dan gangguan bekalan.
Pada masa yang sama, katanya, keselamatan warga ASEAN di kawasan bergolak turut menjadi keutamaan bersama.
“Kita mesti memperhebat perkongsian maklumat, kerjasama diplomatik dan mekanisme tindak balas kecemasan demi melindungi kebajikan rakyat ASEAN di luar negara.
“Walhasil, ASEAN harus terus kekal sebagai wahana kestabilan, keterangkuman dan daya tahan serantau dalam dunia yang semakin berantakan dan terpecah dengan persaingan geopolitik,” katanya.
