9 MEI : Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan melabuhkan tirai, malam tadi di Cebu, Filipina.
Persidangan di tengah konflik global itu membincangkan pelbagai topik termasuk beban kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan, ketegangan sempadan dan landskap global yang semakin tidak menentu.
Kesepakatan dicapai dengan menegaskan blok serantau itu akan bertindak balas bukan melalui perpecahan tetapi menerusi penyelarasan, diplomasi dan tindakan bersama.
“Bagi ASEAN, cabaran membuka peluang yang terus mengukuhkan tekad kami untuk bekerjasama lebih rapat, mendengar dengan lebih teliti dan bertindak dengan lebih bermatlamat,” kata Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr ketika merasmikan sidang kemuncak itu.
Filipina menjadi tuan rumah sidang kemuncak kali ini dalam format berskala kecil susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Semalam, ketika sesi pleno Jumaat, Marcos menggesa pemimpin ASEAN memperkukuh penyelarasan tenaga serantau, melindungi rantaian bekalan makanan dan menjaga rakyat ASEAN yang terperangkap dalam krisis global.
“Solidariti ASEAN mesti diukur melalui keupayaan kita bertindak secara bersama untuk melindungi rakyat kita di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Sidang kemuncak itu kemudian menerima pakai Kenyataan Pemimpin ASEAN mengenai maklum balas terhadap Krisis Asia Barat, selain pemimpin turut menggesa mekanisme keselamatan tenaga yang lebih kukuh, daya tahan makanan serantau dan kerjasama ekonomi yang lebih erat.