13 MEI : Ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dilaporkan memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, baru-baru ini.
Berdasar maklumat yang disiar di laman web Jabatan Kehakiman AS (DoJ), permohonan pengampunan yang dibuat atas nama Taek Jho Low itu diklasifikasikan sebagai ‘pengampunan selepas selesai menjalani hukuman’.
Namun, status permohonan tersebut masih dalam pertimbangan dan setakat ini tiada perincian lanjut didedahkan.
Jho Low berdepan pertuduhan menyeleweng kira-kira AS$4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2018, namun sehingga kini masih melarikan diri dan bebas.
Pendakwa Raya Persekutuan AS mendakwa Jho Low, dengan bantuan dua bekas jurubank Goldman Sachs Group telah membayar hampir AS$2 bilion (RM7.8 bilion) dalam bentuk rasuah kepada pegawai asing bagi menjayakan skim berkenaan.
Selain itu, sekitar AS$1 bilion (RM3.9 bilion) lagi dipercayai disalurkan sebagai habuan kepada individu yang terlibat, manakala Jho Low sendiri didakwa memperoleh sekurang-kurangnya AS$1.42 bilion (RM5.58 bilion) hasil daripada skim tersebut.