16 MEI : Perikatan Nasional (PN) melantik Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Tertinggi gabungan itu, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Mesyuarat hari ini telah memutuskan beberapa perkara, antaranya bersetuju untuk melantik YAB Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Parlimen Kemaman untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Hamzah yang dipecat daripada Bersatu dilaporkan sudah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.
Selain itu, katanya, Mesyuarat Tertinggi PN juga bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan PN.
Menurut Takiyuddin, mesyuarat tersebut turut membincangkan beberapa isu semasa yang menjadi perhatian rakyat dan kepentingan negara.
“Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang yang bertanggungjawab, konstruktif dan berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat serta masa depan negara sentiasa diutamakan,” katanya.
Mesyuarat tersebut turut memutuskan pelantikan Pengerusi PN bagi setiap negeri seperti berikut :
Perlis : Datuk Seri Shahidan Kassim
Kedah : Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Pulau Pinang : Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Perak : Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Selangor : Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Negeri Sembilan : Ditangguhkan
Melaka : Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
Johor : Datuk Dr Sahruddin Jamal
Pahang : Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Terengganu : Datuk Dr Alias Razak
Kelantan : Ustaz Datuk Ahmad Yakob
Sabah : Datuk Dr Aliakbar Gulasan
Sarawak : Jaziri Alkaf Abdillah Suffian
Wilayah Persekutuan : Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.