16 MEI : Pesalah yang terlibat jenayah penipuan dalam talian di Myanmar bakal berdepan hukuman mati.
Hari ini, Kerajaan Myanmar menerbitkan rang undang-undang (RUU) di Parlimen yang mengesyorkan hukuman itu terhadap individu yang didapati menahan atau memaksa mangsa secara ganas untuk bekerja di pusat penipuan dalam talian.
Sebahagian pekerja industri haram itu bekerja secara sukarela namun ramai warga asing yang diselamatkan mendakwa mereka diperdagangkan ke Myanmar sebelum dipaksa bekerja dan diseksa sindiket itu.
RUU itu mengesyorkan hukuman mati bagi kesalahan keganasan, penyeksaan, penculikan, penahanan secara tidak sah atau layanan kejam terhadap individu dengan tujuan memaksa mereka terlibat dalam penipuan dalam talian.
RUU itu turut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup kepada pengendali pusat scam serta individu yang terbabit dalam penipuan mata wang digital atau penipuan kripto.