16 MEI : Barisan Nasional (BN) Johor memutuskan untuk bertanding solo di kesemua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 tidak lama lagi.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurutnya, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pandangan dan suara akar umbi UMNO dan BN Johor.
“Saya mengambil maklum pandangan, suara dan harapan rakyat Johor serta kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor berhubung hala tuju parti menjelang PRN yang akan datang.
“Selepas berbincang dengan pucuk pimpinan parti, saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang,” katanya.
Menurut Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu merupakan tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa gabungan itu bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan kuat.
“Bagi UMNO dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor.
“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan melindungi negeri Johor yang kita cintai ini,” katanya.
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April 2027 dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihan raya selepas pembubaran itu.
Pada PRN Johor yang berlangsung Mac 2022, BN menang dengan 40 kerusi dan membentu kerajaan negeri sementara Pakatan Harapan (PH) menang 12 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menang 3 kerusi serta parti Muda 1 kerusi.