RMC tangani risiko kandungan mudarat platform digital
25 MEI: Platform digital di Malaysia akan tertakluk kepada keperluan baharu penilaian dan pengurangan risiko kandungan berbahaya apabila Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) mula dikuatkuasakan pada 1 Jun.
Menurut dokumen Soalan Lazim (FAQ) Kod RMC yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), RMC menetapkan keperluan kepada penyedia perkhidmatan dalam talian untuk mengenal pasti, menilai dan mengurangkan risiko pengguna terdedah kepada kandungan memudaratkan dalam sistem mereka.
RMC juga diperkenalkan susulan penggunaan platform digital yang semakin meluas dalam kehidupan harian yang pada masa sama meningkatkan risiko pengguna terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Melalui pelaksanaan kod tersebut, semua pemberi perkhidmatan berlesen diwajibkan menjalankan penilaian risiko terhadap perkhidmatan masing-masing sebelum melaksanakan langkah pengurangan risiko.
Selain itu, penilaian tersebut perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk reka bentuk dan fungsi platform, corak penggunaan, demografi pengguna serta situasi berisiko tinggi seperti tempoh pilihan raya atau krisis negara.
Bagi perkhidmatan yang boleh diakses oleh kanak-kanak, penilaian turut perlu memberi perhatian kepada tahap kerentanan mereka memandangkan kumpulan itu berdepan risiko lebih tinggi dalam persekitaran dalam talian.
Platform juga perlu menubuhkan pasukan penilaian risiko dalaman yang berkelayakan serta memastikan semua dapatan, metodologi dan hasil penilaian didokumenkan dengan lengkap untuk tujuan pematuhan dan semakan kawal selia.
Pada masa sama, semua pemprosesan data peribadi dalam proses penilaian risiko hendaklah mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi memastikan aspek privasi pengguna terus terpelihara.
Selepas proses penilaian dilaksanakan, platform diwajibkan mengambil langkah pengurangan risiko yang bersesuaian termasuk pengurusan kandungan, sistem pelaporan, kawalan pengguna serta reka bentuk perkhidmatan yang lebih selamat.
Antara keperluan utama termasuk pelaksanaan sistem pelaporan kandungan memudaratkan yang lebih cekap, tindakan segera terhadap aduan serta penurunan kandungan dalam tempoh munasabah bagi mengurangkan pendedahan pengguna.
Selain itu,platform juga perlu melaksanakan tindakan terhadap pengguna yang berulang kali menyebarkan kandungan berbahaya termasuk amaran, sekatan atau penamatan akaun sebagai langkah pencegahan.
Dari aspek kawalan pengguna, RMC menetapkan keperluan alat keselamatan seperti penapisan kandungan, kawalan interaksi serta tetapan keselamatan yang mudah diakses dan mesra pengguna.
Langkah pendidikan dan kesedaran turut digalakkan bagi membantu pengguna memahami risiko dalam talian serta meningkatkan literasi keselamatan digital melalui panduan dan kempen kesedaran.

Dari sudut teknikal, sistem algoritma dan cadangan kandungan perlu diuji serta disesuaikan bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan berbahaya, termasuk memastikan kandungan yang dimanipulasi seperti ‘deepfake’ dikenalpasti dan dilabelkan dengan jelas.
Keperluan tersebut turut merangkumi kawalan terhadap pengiklanan dalam talian dengan menetapkan bahawa pengiklan perlu melalui proses pengesahan menggunakan dokumen rasmi bagi mengurangkan risiko penipuan digital.
Sementara itu,platform juga perlu menilai setiap ciri baharu sebelum diperkenalkan bagi memastikan ia tidak meningkatkan risiko kepada pengguna serta mengekalkan prinsip keselamatan sejak peringkat reka bentuk.
MCMC menegaskan kegagalan mematuhi keperluan RMC boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan termasuk penalti kewangan sehingga RM10 juta selepas sabitan di bawah ONSA.
Pelaksanaan RMC dilihat sebahagian daripada pendekatan kawal selia berasaskan risiko yang memberi penekanan kepada pencegahan awal, tanggungjawab platform serta penambahbaikan berterusan terhadap keselamatan ekosistem digital negara.
OLEH: AISYAH BADRUL