BUDI Agri-Komoditi diteruskan secara bersasar
25 MEI : Kerajaan akan terus memperkukuh langkah menangani tekanan ekonomi susulan krisis rantaian bekalan global yang semakin meruncing.
Ini termasuk meneruskan pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar bagi membantu golongan terkesan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), hari ini.
“Kerajaan MADANI memahami denyut nadi rakyat yang sedang berdepan tekanan kenaikan kos dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
“Atas pertimbangan tersebut, kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar demi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mesyuarat MTEN hari ini mendengar pembentangan utama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam merungkai krisis rantaian bekalan global yang kian menekan.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan turut memberi perhatian serius terhadap jaminan kesihatan rakyat khususnya melibatkan bekalan ubat-ubatan di negara ini.
Beliau berkata secara keseluruhannya bekalan ubat masih berada pada tahap stabil, namun KKM akan terus memantau secara rapi sebarang cabaran berkaitan rantaian stok dan kenaikan harga bagi memastikan rakyat tidak terkesan.
“Terkait dengan jaminan kesihatan rakyat, secara keseluruhannya, bekalan ubat masih stabil dan KKM akan terus memantau dengan rapi sebarang cabaran rantaian stok mahupun harga bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa keadaan,” katanya.
Katanya, Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras, bertindak dengan ihsan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan negara dalam menghadapi apa juga cabaran yang mendatang.
