3 JUN : Amerika Syarikat (AS) tidak akan menarik balik sekatan terhadap Iran meski Selat Hormuz dibuka semula.
Setiausaha Negara (AS), Marco Rubio berkata sebarang kelonggaran sekatan adalah bersyarat dan berkait rapat dengan program nuklear Iran.
Dalam keterangan di hadapan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, Rubio menekankan kerajaan AS tidak pernah menawarkan pelepasan sekatan semata-mata untuk memastikan laluan tersebut dibuka semula.
Tegas Rubio, Iran perlu memenuhi beberapa syarat utama sebelum sebarang pertimbangan boleh dibuat.
“Sebarang pelepasan sekatan adalah berasaskan syarat, iaitu sebagai balasan terhadap punca sekatan dikenakan sejak awal, iaitu program nuklear mereka,” katanya.
Katanya, Iran dikenakan sekatan antarabangsa kerana aktiviti nuklear serta simpanan uranium diperkaya yang tinggi.
Rubio berkata Washington hanya akan mempertimbangkan untuk menarik sekatan sekiranya Tehran bersetuju menghentikan atau mengurangkan program tersebut secara signifikan.