Kerajaan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
5 JUN : Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu, hari ini.
Menurutnya, pendirian rasmi kerajaan tersebut dibuat mengikut saluran perundangan dan Perlembagaan meski terdapat usaha memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai YDPB.
Beliau akui krisis yang berlaku di Negeri Sembilan ketia ini menggusarkannya.
“Krisis di Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi Raja ada peraturan, kaedah dan cara kemuliaannya. Jika digugat begini rupa, ia mesej yang sangat tidak baik.
“Saya tidak menafikan hak sesiapa ikut saluran undang-undang dan perlembagaan negeri tetapi hujah harus kuat. Sebab ini kita pandang berat dan saya sudah memberi pandangan ini kepada pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata semua pihak sewajarnya menghormati keputusan mahkamah susulan pengguguran mana-mana raja akan memberi implikasi besar kepada negara.
“Kita harus ikut saluran mahkamah yang buat keputusan tadi dan dan kita juga sudah beri nasihat tetapi diteruskan pengisytiharan di hotel yang saya fikir juga tidak menjejaskan juga imej dan identiti Raja ditabalkan di pekarangan hotel,” katanya.
Beliau mahu sebarang pandangan lain mengenai isu itu dibuat melalui saluran sah mengikut Perlembagaan bagi mengelakkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Sebelumnya, media melaporkan Tunku Nadzaruddin ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, hari ini.
Pertabalan dalam majlis ringkas itu dibuat Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Seremban menghalang Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) daripada diteruskan serta mengekalkan Raja Norazli Raja Nordin sebagai Setiausaha DKU sehingga tindakan undang-undang berkaitan perkara itu diputuskan.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Roz Mawar Rozain membenarkan permohonan injunksi ad interim yang difailkan Raja Norazli bersama DKU bagi mengekalkan status quo pentadbiran badan berkenaan.