5 JUN : Sekatan akses portal MyKhas terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Subang tidak menjejaskan hak mereka sebagai wakil rakyat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata peruntukan yang disalur melalui portal itu adalah dana khas Perdana Menteri.
Jelasnya, ia tidak melibatkan kemudahan atau hak lain yang diberi kepada wakil rakyat melalui Parlimen.
Menurut Fahmi, rakyat di Parlimen tersebut tetap boleh membuat permohonan yang akan diteliti Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“ICU JPM telah membuat kenyataan bahawa penduduk di kedua-dua Parlimen masih boleh membuat permohonan yang akan diteliti oleh pihak ICU JPM untuk diluluskan.
“Jadi tidak timbul isu mengenai aspek dari segi permohonan dan peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri,hari ini.
Menteri Komunikasi itu mengulas dakwaan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling, Jaya Lee Chean Chung tentang sekatan akses sistem MyKhas.
Mereka mendakwa sekatan itu menjejaskan urusan permohonan peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi kawasan masing-masing.
Semalam, ICU JPM menjamin segala bentuk peruntukan kepada rakyat akan terus disalurkan dan dikendalikan secara langsung bagi memastikan kebajikan mereka tidak terjejas.