6 JUN : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkait Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Jun ini.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata mesyuarat itu bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkait urusan pilihan raya tersebut.
“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-16 seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media bagi memaklumkan penerimaan notis pembubaran DUN itu.
Menurutnya, satu sidang media turut akan diadakan sejurus Mesyuarat Khas tersebut selesai.
SPR secara rasmi sudah menerima notis pembubaran Dewan Negeri Johor ke-15 pada 2 Jun daripada Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Kata Khairul, ia termaktub di bawah Fasal 23 (2) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Berdasarkan Fasal 23 (4) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dewan negeri tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 1 Jun lalu mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.