9 JUN : Sebarang keputusan berkait pembukaan laluan khas untuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura hanya akan diputuskan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu kelak berbeza mengikut hari mengundi sama ada pada hari bekerja atau hujung minggu.
“Baik. Kita akan tengok. Apabila SPR mengadakan mesyuarat yang diberitakan pada 12 Jun nanti, biasanya ia berakhir dengan satu hebahan media tentang tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.
“Kami di Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Jabatan Imigresen dan agensi yang berkaitan akan memberikan respons berdasarkan pengumuman itu. Sama ada hari mengundi jatuh pada hari Sabtu atau Ahad, ia memberi kesan yang berbeza.
“Kalau hari Ahad, isu itu tidak timbul kerana pada hari Ahad rakyat Singapura lebih ramai masuk ke sebelah kita berbanding rakyat kita ke sana. Tetapi kalau hari Sabtu, ada juga yang bekerja. Jadi kami akan memberikan respons,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, hari ini.
Menurut Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), kerajaan akan membantu sedaya upaya bagi memudahkan pengundi di negeri itu pada hari tersebut.
“Tidak syak lagi, apa sahaja yang boleh membantu dan memudahkan para pengundi di Johor untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi pada hari mengundi, kami akan memudah cara sedaya upaya kami,” katanya.
