14 JUN : UMNO mengingatkan pihak berkaitan agar tidak menuduh parti itu berkhianat hingga menyebabkan kerajaan Negeri Sembilan tumbang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tuduhan seumpama itu perlu disertakan dengan bukti dan fakta yang jelas.
“Jangan membuat tuduhan umum yang mewujudkan persepsi bahawa UMNO telah bertindak tidak setia,” katanya kepada New Straits Times, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang usaha yang menggugat kerajaan negeri itu boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya UMNO bertindak tidak setia di Negeri Sembilan sambil menegaskan tidak timbul soal ketidaksetiaan selepas tempoh pentadbiran sesebuah kerajaan berakhir.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan UMNO-BN sudah memberikan sokongan kepada kerajaan negeri sehingga tamat mandatnya dan kekal komited memastikan kestabilan pentadbiran sepanjang tempoh itu.
Jelasnya, selepas mandat berakhir, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendirian, strategi dan menawarkan mandat baharu kepada rakyat
“UMNO tidak pernah mengkhianati komitmen yang sudah dipersetujui.
“Persaingan dalam pilihan raya tidak boleh disamakan dengan pengkhianatan atau usaha menjatuhkan kerajaan,” katanya.
Katanya, UMNO akan terus menghormati semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan namun tidak bermakna identiti dan prinsip parti perlu dikorbankan.