14 JUN : Rusia mengenakan sekatan pengisian bahan api pesawat bagi syarikat penerbangan asing di beberapa lapangan terbang di negara itu.
Media tempatan melaporkan Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Russia, Rosaviatsiya memperkenalkan sekatan itu selepas syarikat penerbangan asing semakin kerap membeli bahan api secara berlebihan bagi mengurangkan kos operasi mereka.
Menurut Rosaviatsiya, syarikat penerbangan asing kini dikehendaki menyelaraskan pembelian bahan api dengan pembekal tempatan dan jumlah pengisian tidak boleh melebihi kuantiti yang diperlukan untuk penerbangan dijadualkan.
Menurut agensi itu, syarikat penerbangan asing mengisi bahan api di lapangan terbang Rusia dalam jumlah yang jauh melebihi keperluan penerbangan sebenar mereka dalam usaha mengurangkan perbelanjaan operasi.
Keadaan itu kata Rosaviatsiya menjejaskan perancangan bekalan bahan api dan logistik tempatan.
Langkah itu dikuatkuasakan di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam pasaran bahan api global.
Pada awal Jun, Kerajaan Rusia memperkenalkan larangan eksport terhadap minyak tanah penerbangan termasuk bahan api yang dibeli melalui perdagangan bursa berkuat kuasa sehingga 30 November.